SPRM masih perlu siasat lagi kes curi REE di Bukit Enggang, Kedah

Donna

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

SEREMBAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum selesai menyiasat kes pencurian elemen langka (REE) di lombong Bukit Enggang, Sik, Kedah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata SPRM perlu mendapatkan keterangan daripada beberapa saksi lagi sebelum memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Kami sudah menahan empat orang suspek termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Menteri Besar Kedah (MBI) dan pengarah sebuah syarikat. Tetapi masih ada saksi lagi yang perlu kami panggil,” katanya.

Beliau menjelaskan SPRM akan memanggil Muhammad Sanusi bila masanya tiba sahaja.

“Kami masih belum berhubung dengan beliau kerana masih ada saksi lain untuk kami panggil untuk memberi keterangan,” katanya dalam sidang media eksklusif di Meru Raya, Seremban hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai laporan bahawa semua 10 Exco Kedah sudah dipanggil oleh SPRM, Azam berkata hanya sesetengah Exco sahaja yang dipanggil untuk memberi keterangan.

“Mungkin sebahagian Exco sudah memberi keterangan kepada kami manakala sebahagian lagi masih belum,” katanya.

SPRM mula menyiasat kes rasuah dan salah guna kuasa dalam isu pencurian REE di Kampung Enggang, Sik, Kedah pada Julai lalu. Sehingga kini seramai empat orang ditahan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif MBI Kedah dan seorang pengarah syarikat.

Related Post

Leave a Comment