Timothy Weah tiba di Turin sebelum perpindahan Juventus

Donna

TURIN, 29 Jun ― Pemain antarabangsa Amerika Syarikat Timothy Weah telah tiba di Turin, kata Juventus semalam, menjelang perpindahan pemain itu ke kelab Serie A dari kelab Ligue 1 Lille.

Juventus berkongsi gambar dan video ketibaan Weah di lapangan terbang Turin di laman web dan media sosial mereka.

Weah, yang menyertai Lille dari Paris St Germain pada Jun 2019, akan menjalani pemeriksaan kesihatannya hari ini, sebelum menandatangani perjanjian bernilai €12 juta (RM61 juta) selama lima musim, lapor media Itali.

Walaupun pemain berusia 23 tahun itu telah beroperasi sebagai pemain pertahanan untuk Lille, Weah lebih banyak bermain sebagai pemain sayap dalam 31 perlawanannya untuk Amerika Syarikat sejak penampilan pertamanya pada 2018.

Weah ialah anak kepada bekas penyerang AC Milan dan Paris St Germain George Weah, yang memenangi anugerah Pemain Bola Sepak Terbaik Dunia dan Ballon d’Or pada 1995 dan merupakan Presiden Liberia semasa.

Timothy Weah dilahirkan di New York dan layak mewakili Perancis, Jamaica, dan Liberia, tetapi dia akhirnya memilih untuk mewakili Amerika Syarikat.

Dia adalah sebahagian daripada skuad yang mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2022 di Qatar. ― Reuters

Related Post

Leave a Comment