Peningkatan Prestasi Dijangka! Nor Sarah Bakal Dapat Galah Baru Bulan Depan

Donna

Foto: Nur Salah

KUALA LUMPUR – Atlet lompat galah negara Nor Sarah Adi akan menerima galah olahraga baru awal bulan depan yang disediakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Jefri Ngadirin, Pengarah Bahagian Atlet MSN berkata galah baru itu telah dipesan bulan lalu setelah Sukan Asia Tenggara SEA Games Kamboja berakhir dan dijadual akan tiba dari Amerika Syarikat (AS) bulan depan.

“Galah ini disediakan mengikut ketinggian yang diinginkan Nor Sarah dan dipesan dari AS. Saya menjangkakan galah baru itu akan tiba pada 10 Ogos ini,” kata Jefri kepada BH Sukan.

Nor Sarah sebelum ini berkata dia memerlukan galah baru untuk bersiap sedia menghadapi Sukan Asia Hangzhou yang tinggal dua bulan lagi.

Atlet berusia 23 tahun itu menjelaskan galah sedia ada tidak sesuai lagi dengan keperluannya. Nor Sarah akan menyertai Kontinjen Malaysia ke Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) Chengdu, China mulai hari ini.

Dia berkata dia memerlukan setidaknya sebulan untuk memperbaiki rekod peribadinya 4.05 meter yang dicatatkan di SEA Games Kamboja, Mei lalu. Walau bagaimanapun dia akan cuba yang terbaik di Chengdu dengan matlamat melakukan 4.10 meter untuk layak ke Sukan Asia dalam Kategori A.

“Galah sedia ada tidak mampu menampung kapasiti saya. Saya rasa gagal lompat dengan baik dan galah itu tidak mempunyai daya untuk membantu saya,” kata Nor Sarah sebelum ini.

Related Post

Leave a Comment