Terbuka Taipei: Tiga pasangan Malaysia mara ke separuh akhir

Donna

KUALA LUMPUR, 23 Jun — Tiga wakil Malaysia termasuk beregu lelaki Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun hari ini mara ke separuh akhir Terbuka Taipei 2023.

Malaysia dijamin mendapat tempat dalam perlawanan akhir beregu lelaki apabila pilihan utama Yew Sin-Ee Yi akan bertarung dengan pilihan kelima Wei Chong-Kai Wun dalam aksi empat terakhir esok di Arena Tian-Mu, Universiti Taipei.

Pada suku akhir hari ini, Yew Sin-Ee Yi bangkit daripada ketinggalan untuk menumpaskan pemain Taiwan Lee Fang-Chih- Lee Fang-Jen 15-21, 21-19, 21-17.

Sebaliknya, Wei Chong-Kai Wun, yang merupakan naib juara Malaysia Masters 2023, mengambil masa 32 minit untuk mengejutkan pilihan keempat Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan dari Taiwan 21-19, 21-19.

Pasangan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut mara ke separuh akhir dengan menewaskan gandingan tuan rumah Yang Po-Hsuan-Hu Ling Fang 21-15, 21-14.

Pilihan keempat akan menentang satu lagi pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin, yang menghalang aksi separuh akhir seluruh Malaysia dengan menumbangkan Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing 21-18, 21-14. — Bernama

Related Post

Leave a Comment