Sukan Asia: MOM menunggu isyarat IOC mengenai penyertaan atlet Rusia, Belarus

Donna

KUALA LUMPUR, 10 Julai — Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan menunggu keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sebelum membuat pendirian rasmi mengenai langkah Majlis Olimpik Asia (OCA) membenarkan atlet Rusia dan Belarus bertanding dalam Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Najib, yang menghadiri Perhimpunan Agung OCA di Bangkok Sabtu lepas, berkata kepimpinan OCA baharu bagi penggal 2023-2027 dijangka mengadakan mesyuarat tidak lama lagi untuk membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut.

“OCA hanya menyediakan platform untuk atlet Rusia dan Belarus menyertai Sukan Asia 2022 tetapi segala-galanya perlu menunggu lampu hijau daripada IOC,” katanya kepada Bernama.

Sabtu lalu, OCA memutuskan untuk membenarkan atlet Rusia dan Belarus bertanding di Sukan Asia 2022 bagi membantu mereka memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Bagaimanapun, OCA hanya membenarkan atlet dari kedua-dua negara ini bertanding di bawah bendera neutral dan mereka tidak layak mendapat pingat pemenang pada temasya itu, yang diadakan setiap empat tahun sekali.

Mohd Nazifuddin berkata beliau berpendapat bahawa penyertaan atlet Rusia dan Belarus di Asiad, yang dijadualkan pada 23 September hingga 8 Oktober, bukanlah satu isu kerana mereka tidak akan “mencuri” daripada kuota Asia untuk Sukan Olimpik.

Beliau berkata jika atlet Rusia dan Belarus layak ke Sukan Olimpik, mereka akan menggunakan kuota Eropah untuk bersaing dalam acara pelbagai sukan terbesar dunia.

Pada Februari 2022, IOC mengesyorkan agar persekutuan sukan antarabangsa menghalang atlet Rusia dan Belarus daripada bertanding selepas Rusia melancarkan operasi ketenteraan khas di Ukraine.

Pada bulan Mac tahun ini, IOC mencadangkan persekutuan antarabangsa membenarkan atlet Rusia dan Belarus bertanding di bawah status neutral dalam acara individu hanya dengan syarat mereka bukan penyokong operasi khas ketenteraan atau dikaitkan dengan tentera atau agensi keselamatan negara itu. — Bernama

Related Post

Leave a Comment