Raja, Ratu mengucapkan takziah kepada keluarga bekas jurulatih Harimau Malaya Sathianathan

Donna

KUALA LUMPUR, 19 Julai — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas jurulatih Harimau Malaya B. Sathianathan, yang meninggal dunia semalam.

Turut menyampaikan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menurut catatan di laman Facebook Istana Negara, Duli Yang Maha Mulia menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Sathianathan dan berharap keluarga baginda terus bersabar dan tabah menghadapi masa sedih dan pahit ini.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia menghargai jasa dan sumbangan Sathianathan kepada negara dan menyifatkan pemergiannya sebagai satu kehilangan besar kepada bola sepak Malaysia,” menurut catatan itu.

Sathianathan adalah ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan dari 2007 hingga 2009.

Beliau melatih skuad bawah 23 tahun dari 2006 hingga 2008, mengetuai pasukan itu memenangi gelaran Pesta Bola Merdeka pada 2007 dan muncul naib juara pada 2008.

Sathianathan turut mengetuai pasukan Kelantan meraih kemenangan dalam Piala Malaysia pada 2010, selain membimbing Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Felda United masing-masing merangkul kejuaraan Liga Perdana pada 2012 dan 2018.

Bekas pemain Negeri Sembilan itu turut membimbing beberapa pasukan tempatan termasuk Selangor dan Sarawak United.

Beliau dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2017 (ABK 2017).

Sathianathan, 65, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada 1.25 tengah hari di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini akibat kanser. Beliau meninggalkan seorang isteri, dua anak lelaki dan dua anak perempuan. — Bernama

Related Post

Leave a Comment