Polis: Kawalan ketat di tempat untuk separuh akhir Piala FA 2023 antara Terengganu FC, KL City FC

Donna

KUALA TERENGGANU, 23 Jun — Sepasukan polis seramai 400 orang akan dikerahkan untuk mengawal orang ramai pada perlawanan bola sepak separuh akhir Piala FA 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak Ahad ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abdul Rahim Md Din berkata sebagai langkah keselamatan, polis juga akan menjalankan pemeriksaan badan dan beg di pintu masuk dan dalam stadium bagi perlawanan antara Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC.

Penonton diingatkan supaya tidak membawa masuk barangan terlarang seperti mercun, bunga api, suar, topi keledar, plastik atau botol air kaca, minuman keras, tin minuman, laser, mancis, pemetik api dan power bank.

“Juga tidak dibenarkan dibawa masuk ialah sebarang besi tajam atau objek kayu, senjata tajam seperti pisau, gunting, parang serta payung atau batang, dron dan sebarang pembesar suara atau hooter yang membuat bunyi bising,” katanya dalam satu kenyataan hari ini .

Abdul Rahim berkata polis juga memberi amaran keras kepada penyokong kedua-dua pasukan supaya tidak menimbulkan gangguan sebelum, semasa dan selepas perlawanan, yang dijadualkan bermula jam 9 malam.

“Penyokong tidak dibenarkan mengadakan perhimpunan atau perarakan, bergaduh, merusuh, menyanyi atau membuat provokasi dengan ejekan atau cacian, serta suar cahaya dan sebagainya.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang sedia ada oleh penyokong. Justeru, polis meminta kerjasama semua pihak untuk mematuhi sepenuhnya garis panduan kawalan keselamatan di stadium seperti yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia dan polis,” katanya.

Beliau berkata polis trafik juga akan ditempatkan di sekitar stadium manakala orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghalang jalan atau laluan menuju ke pintu pagar utama stadium ketika meletakkan kenderaan mereka. — Bernama

Related Post

Leave a Comment