Penyelam Bertrand Rhodict ialah atlet Malaysia pertama yang layak ke Paris 2024

Donna

KUALA LUMPUR, 21 Julai — Penerjun muda Bertrand Rhodict Lises muncul sebagai rakyat Malaysia pertama yang menempah slot secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menamatkan saingan di peringkat 10 terakhir dalam acara 10m platform pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023.

Dalam pertandingan yang diadakan di Fukuoka Prefectural Pool, Jepun, Rhodict melengkapkan separuh akhir dengan 420.70 mata untuk diletakkan di tempat ke-10 daripada 18 peserta, menurut laman web kejohanan, worldaquatics.com.

Kejayaan itu menyaksikan penerjun berusia 18 tahun itu cemerlang meletakkan dirinya dalam kalangan 12 kumpulan kelayakan terbaik di peringkat separuh akhir yang akan beraksi di final sekali gus layak ke Paris.

Lian Junjie dari China mengungguli pusingan dengan 505.50 mata, diikuti Cassiel Rousseau dari Australia (494.10 mata) manakala Yang Hao dari China di tempat ketiga (484.90 mata).

Rhodict boleh menjadi penerjun pertama yang menghadiahkan pingat di Fukuoka jika mempamerkan aksi cemerlang pada perlawanan akhir esok kerana skuad negara masih belum mencapai kedudukan podium sejak kejohanan bermula pada 14 Julai.

Sementara itu, nasib berbeza menimpa penerjun negara Enrique Maccartney Harold apabila kempennya terhenti pada pusingan kelayakan menerusi acara sama selepas hanya mencatat 308.20 mata untuk menduduki tangga ke-39 daripada 40 pesaing.

Kejohanan itu akan berlangsung sehingga 30 Julai. — Bernama

Related Post

Leave a Comment