Pemangku Raja Perlis lancar Liga Besbol Kebangsaan

Donna

SERDANG, 10 Julai — Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, secara rasmi melancarkan Liga Besbol Kebangsaan 2023 yang julung kali diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini semalam

Turut hadir Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Kebawah DYMM disambut oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Presiden Persekutuan Besbol Malaysia (MBF) Sazali Husain.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah penyertaan dalam sukan dapat membantu membina gaya hidup sihat, keyakinan diri dan kecergasan fizikal.

“Melalui penglibatan dalam sukan, seseorang individu akan didedahkan dengan pelbagai nilai kehidupan. Dalam sukan berpasukan dan pertandingan, kita boleh merasai semangat menang atau kalah dan belajar untuk bekerjasama dan bertolak ansur dalam mencapai sesuatu misi,” titah Tuanku Syed Faizuddin dalam ucapannya.

Liga Besbol Kebangsaan 2023 dianjurkan bersama oleh MBF, Kementerian Belia dan Sukan, dan Majlis Sukan Negara, dengan AEON BiG Sdn Bhd sebagai penaja.

Liga itu bermula pada 10 Jun dan akan berlangsung selama enam hujung minggu, disertai 184 pemain berusia 20 hingga 30 tahun dari lapan negeri iaitu Perlis, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Hannah, dalam ucapannya, berkata kementerian komited untuk menyediakan platform untuk membawa besbol ke tahap yang lebih tinggi di negara ini.

“Penganjuran kejohanan Liga Besbol Kebangsaan 2023 telah memberi peluang kepada atlet muda untuk mempamerkan bakat dan dipilih mewakili negara dalam pertandingan antarabangsa,” katanya.

Pengarah Urusan AEON BiG Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata syarikat itu memutuskan untuk menjadi rakan kongsi strategik liga besbol sebagai cara memberi kembali kepada masyarakat dan membantu membangunkan permainan di negara ini. — Bernama

Related Post

Leave a Comment