Nasib Misbun tergantung dalam imbangan?

Donna

KUALA LUMPUR, 15 Julai — Masa depan pengarah kejurulatihan perseorangan Remaja Akademi Badminton (ABM), Datuk Misbun Sidek akan diputuskan minggu depan berikutan prestasi mengecewakan pasukannya pada Kejohanan Badminton Remaja Asia yang sedang berlangsung di Yogyakarta, Indonesia.

Bukan sahaja Misbun, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, nasib barisan kejurulatihan skuad remaja negara juga akan ditentukan oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan hari ini bagi menilai program latihan pemain muda selepas pulang dari Indonesia dengan tangan kosong.

Beliau berkata jawatankuasa khas yang diketuai Timbalan Presiden BAM Datuk V. Subramaniam dan dibantu Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh juga akan mengambil kira pandangan panel penasihat teknikal di BAM yang terdiri daripada tujuh bekas pemain badminton negara termasuk lagenda negara Datuk Lee Chong Wei dan tujuh eksekutif sukan dalam usaha menambah baik sistem latihan skuad remaja.

“Tunggu minggu depan, secara amnya ahli majlis BAM tidak berpuas hati dengan prestasi pemain dalam Kejohanan Badminton Remaja Asia, itu sahaja yang boleh saya katakan sekarang,” katanya pada sidang media Mesyuarat Majlis BAM di sini hari ini.

Skuad remaja negara mempamerkan aksi hambar di Yogyakarta apabila tewas kepada juara bertahan, Thailand, 0-3, pada suku akhir acara berpasukan campuran manakala tiada pemain yang layak ke separuh akhir pertandingan individu.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat ialah pada 2018 menerusi beregu wanita ketika itu Pearly Tan-Toh Ee Wei yang meraih perak, selain membantu skuad negara ketika itu meraih gangsa dalam acara berpasukan campuran.

Oktober lalu, Malaysia gagal mara ke suku akhir Kejohanan Remaja Dunia di Santander, Sepanyol dan menamatkan acara berpasukan campuran di tempat kesembilan selepas menewaskan Denmark, 4-1.

Lebih menyedihkan ialah buat pertama kalinya, tiada pemain negara layak ke suku akhir pertandingan individu di Sepanyol.

Mohamad Norza berkata ahli majlis juga amat sedih dengan perkembangan terkini yang melanda skuad remaja negara yang dilihat semakin ketinggalan berbanding kuasa besar lain dalam sukan itu.

Walaupun ranking pemain negara tinggi, Mohamad Norza berkata mereka berdepan masalah apabila berdepan pemain dari kuasa besar lain terutama dari segi intensiti dan kekuatan mental.

“Dengan kemudahan yang disediakan di ABM… termasuk kemudahan empat bintang, ia tidak diterjemahkan (oleh pemain) kepada persembahan lima bintang,” katanya. — Bernama

Related Post

Leave a Comment