Mohamad Norza akan berundur sebagai presiden BAM selepas Olimpik ’24 Paris

Donna

KUALA LUMPUR, 15 Julai — Tan Sri Mohamad Norza Zakaria akan meletakkan jawatan sebagai presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejurus selepas Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Mohamad Norza menambah beliau juga akan meletak jawatan sebagai presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selepas Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

“Saya telah mengumumkan hasrat saya untuk meninggalkan BAM serta-merta selepas Paris 2024 (Sukan Olimpik) kepada majlis,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis BAM di sini hari ini.

Mohamad Norza telah menerajui BAM sejak 2017 dan MOM sejak 2018. Beliau akan menamatkan penggal kedua sebagai presiden BAM dan menamatkan perkhidmatannya sebagai presiden MOM pada 2025.

Beliau berkata ini bagi membolehkannya memberi lebih tumpuan kepada perkhidmatannya di peringkat antarabangsa dan kepentingan peribadi lain.

Pada April, beliau dilantik sebagai presiden kehormat Badminton Asia bagi penggal 2023-2027 sebelum baru-baru ini dipilih sebagai pengerusi Jawatankuasa Sukan untuk Semua Majlis Olimpik Asia (OCA).

“Sebagai sebuah organisasi yang baik, kita memerlukan pelan penggantian, seseorang tidak boleh keluar secara tiba-tiba kerana tempoh peralihan perlu lancar. Kita bercakap tentang penajaan, struktur, jurulatih, pemain dan ahli majlis… Saya rasa satu tahun sudah memadai untuk mengenal pasti orang yang sesuai (untuk memimpin BAM).

“Kami perlu mendapatkan seseorang yang boleh membawa BAM ke peringkat seterusnya. Ia bukan satu tugas yang mudah kerana kita adalah negara yang gila badminton… semua orang fokus kepada apa yang kita lakukan dalam BAM dan arena badminton,” katanya.

Beliau berkata BAM juga akan menjalankan proses yang betul, termasuk berunding dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, pihak berkepentingan dan penaja dalam usaha mencari penggantinya.

Mohamad Norza juga berharap pemimpin seterusnya akan mempunyai semangat dan berkongsi visi yang sama untuk memastikan Malaysia kekal sebagai kuasa besar badminton.

Ditanya sama ada beliau sedang mengintai jawatan dalam Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC), Mohamad Norza menjawab: “Baiklah, kita tunggu dan lihat. Sudah tentu, sebagai pentadbir, anda mahu menjadi sebahagian daripada organisasi seperti ini. Semoga saya akan sampai ke sana satu hari nanti,” katanya. — Bernama

Related Post

Leave a Comment