Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan tenis Piala Billie Jean King buat kali kedua

Donna

KUALA LUMPUR, 23 Jun — Malaysia sekali lagi diberi penghormatan untuk menganjurkan kejohanan tenis wanita Piala Billie Jean King yang dijadualkan berlangsung di Pusat Tenis Negara di Jalan Duta di sini dari 24-29 Julai.

Presiden Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) Mirzan Mahathir berkata badan induk itu akan memastikan kejohanan peringkat antarabangsa di bawah Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) yang disertai 12 negara termasuk Malaysia, diuruskan dengan lebih baik berbanding tahun lepas.

Pada masa sama, beliau berkata skuad negara perlu memanfaatkan sepenuhnya bermain di gelanggang sendiri memandangkan kejohanan itu diadakan di Malaysia selama dua tahun berturut-turut bagi mencapai matlamat pasukan negara dinaikkan ke Kumpulan Satu kejohanan itu.

“Tidak semestinya pasukan hebat datang bermain di sini jadi pemain kami perlu memanfaatkan peluang ini,” katanya pada sidang media mengumumkan kejohanan itu hari ini.

Negara lain yang mengambil bahagian dalam kejohanan itu ialah New Zealand, Pakistan, Hong Kong, China, Mongolia, Indonesia, Singapura, Turkmenistan, Guam, Taiwan dan Sri Lanka.

Dalam pada itu, pengarah pertandingan Shahizan Hasnan berkata LTAM dalam fasa terakhir pemilihan skuad negara untuk kejohanan itu.

“Kami akan mengumumkan senarai pemain dalam masa terdekat dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dijadualkan merasmikan kejohanan itu,” katanya. — Bernama

Related Post

Leave a Comment