KUFC mendapat rangsangan daripada dua pemain import Korea Selatan

Donna

KOTA BARU, 4 Julai — Kelantan United FC (KUFC) akan mendapatkan khidmat dua pemain import dari Korea Selatan untuk memperkukuh pasukan itu bagi menghadapi baki perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Pengarah Eksekutif KUFC Wan Mohd Zul Ikman Wan Abdul Aziz berkata dua pemain itu ialah Kim Min Kyu, 22, bermain sebagai pemain sayap dan pertahanan, Kim Deok, 21.

“Sebelum ini, Kim Min Kyu pernah bermain untuk Pyeongtaek Citizen FC di negaranya manakala Kim Deok adalah bekas pemain Saraburi, Thailand di bahagian ketiga negara.

“Kehadiran dua pemain import itu akan memberi nilai tambah kepada skuad untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam liga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Zul Ikman berkata kedua-dua pemain menyertai sesi percubaan bersama pasukan minggu lalu sebelum menandatangani kontrak hari ini.

“Kedua-dua pemain ini mempamerkan corak permainan yang bagus dan dilihat mampu menyumbang kepada pasukan untuk mengharungi baki saingan Liga-M musim ini,” katanya.

KUFC kini berada di kedudukan kedua terakhir daripada 14 pasukan Liga Super dengan enam mata daripada satu kemenangan, tiga seri dan 11 kekalahan selepas bermain 15 perlawanan. — Bernama

Related Post

Leave a Comment