KP Jabatan Penjara: Peruntukan RM100 juta kerajaan suntikan motivasi kepada agensi penguatkuasa

Donna

KUALA LUMPUR, 14 Julai ― Peruntukan kerajaan sebanyak RM100 juta kepada enam agensi penguatkuasaan bagi mempertingkatkan kelengkapan dan keupayaan mereka disifatkan sebagai suntikan motivasi untuk melonjakkan lagi keberkesanan dalam menjalankan tugas.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Nordin Muhamad berkata peruntukan itu sememangnya diperlukan agensi penguatkuasaan yang berdepan kekurangan yang melibatkan aspek logistik.

“Ia terutamanya melibatkan kenderaan pengiring banduan, persenjataan, peralatan kawalan keselamatan serta alat untuk membantu melaksanakan program pemulihan.

“Melalui peruntukan ini, ia akan dapat membantu kakitangan untuk meningkatkan lagi keberkesanan tugas mereka,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, inisiatif yang turut melibatkan penambahbaikan elaun pakaian seragam itu akan mengurangkan perbelanjaan kakitangan berkaitan pakaian seragam.

“Ini memastikan pakaian seragam lebih kemas dan ia secara tidak langsung akan meningkatkan semangat mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi turut melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan peruntukan kepada agensi penguatkuasaan.

Beliau berkata peruntukan itu akan memperkasakan pasukan Polis Diraja Malaysia dan menjaga kebajikan anggota.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki berkata peruntukan yang disediakan itu boleh digunakan untuk membaiki atau menggantikan peralatan yang melibatkan perkhidmatan agensi itu.

“Inisiatif ini menunjukkan keprihatinan kerajaan untuk menambah baik kapasiti penguatkuasaan supaya dapat memberikan perkhidmatan yang baik, cepat dan cekap kepada rakyat,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM100 juta bagi mempertingkat peralatan dan keupayaan enam agensi penguatkuasa selain menambah baik Elaun Seragam Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) serta kajian memperkasa agensi penguatkuasaan dan menambah baik laluan kerjaya pegawai dan kakitangan penguatkuasa.

Anwar berkata Elaun Pakaian Seragam Kumpulan P&P akan ditambah baik dengan menggunakan kaedah pembekalan seragam di enam agensi dengan implikasi kewangan tahunan sebanyak RM5,502,780 setahun.

Anwar, yang juga menteri kewangan, turut menggesa Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood untuk mengagihkan peruntukan RM100 juta kepada agensi penguatkuasa selewat-lewatnya hujung minggu depan.

Enam agensi itu ialah Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Penjara, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. ― Bernama

Related Post

Leave a Comment