Kementerian Sukan masih belum menerima laporan mengenai peletakan jawatan Zaki

Donna

KUALA LUMPUR, 25 Jun — Kementerian Belia dan Sukan (KBS) belum menerima sebarang laporan rasmi daripada Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF) berhubung peletakan jawatan bekas ketua jurulatih kebangsaan, Zaki Sadri, hujung bulan lalu.

Menterinya Hannah Yeoh berkata beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai isu itu kerana beliau masih belum menerima maklumat terperinci mengenai krisis terbaru yang melanda MAF.

“Itu, mereka kena selesaikan dulu di peringkat persekutuan (MAF), buat masa ini saya belum dipanggil buat apa-apa lagi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program KBS x KL Car Free Morning di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Zaki yang juga bekas juara lompat tiga negara meletakkan jawatan berikutan kesukaran mendapat kepercayaan pegawai dalam badan induk itu untuk melakukan perubahan dalam skuad olahraga negara.

Sementara itu, Hannah berkata program KBS x KL Car Free Morning yang julung kali diadakan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku penganjur utama akan berlangsung setiap bulan pada setiap Ahad keempat dan mengekalkan aktiviti utama seperti berbasikal, berlari dan berjalan.

“Edisi KBS juga akan mengetengahkan aktiviti utama ini dengan pelbagai tema kostum yang dijangka menjadi tarikan utama pada edisi akan datang.

“Antara kelainan yang akan diketengahkan dalam edisi KBS akan datang ialah pelbagai aktiviti sampingan seperti slot mencuba sukan baharu dan sukan teras, aktiviti kecergasan, sukan lasak, basikal tolak, penampilan personaliti sukan termasuk atlet sukan para dan seumpamanya,” katanya.

Beliau juga berharap model kerjasama antara KBS dan DBKL ini dapat diperluaskan ke peringkat negeri melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri serta pihak berkuasa tempatan di negeri masing-masing. — Bernama

Related Post

Leave a Comment