Kekurangan dana bukan punca utama persembahan suram kontinjen negara di Sukan SEA, kata Hannah

Donna

KUALA LUMPUR, 8 Julai — Kekurangan dana bukan punca utama kontinjen Malaysia menunjukkan prestasi terburuk pada Sukan SEA di Kemboja yang ditutup pada 17 Mei lalu, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau berkata Majlis Sukan Negara (MSN) telah mengumpul semua input mengenai cabaran yang dihadapi oleh atlet daripada persatuan sukan yang dibangkitkan semasa mesyuarat bedah siasat yang diadakan pada 30 Jun dan 1 Julai.

“Kekurangan bajet bukan faktor utama, ada pelbagai faktor, mereka (MSN) kumpul (input), kita lihat satu persatu.

“Kita juga mahu pastikan jika ada cabaran yang boleh diatasi dalam tempoh terdekat sebelum Sukan Asia, kita akan atasinya,” katanya kepada pemberita pada Karnival Allianz Moveforward di MSN di sini, hari ini.

Mengulas perkara itu, Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata prestasi buruk kontinjen negara boleh dikaitkan dengan pengurusan program latihan, pengurusan atlet dan pembebasan atlet daripada pekerjaan mereka.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan oleh persatuan sukan pada sesi mesyuarat bedah siasat.

“Itu adalah perkara penting yang kami akan kumpul dan bentangkan semula kepada lembaga pengarah dan menteri kami di mana perkara yang boleh diatasi segera dan dalam jangka panjang, kami akan atasi,” katanya.

Pada 30 Jun dan 1 Julai, Hannah bersama MSN, 38 wakil persatuan sukan kebangsaan dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah menjalankan sesi bedah siasat berikutan prestasi terburuk kontinjen negara pada temasya dwitahunan itu.

Mesyuarat itu turut dihadiri wakil Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU) di Tokyo, yang diminta memantau sesi tersebut selain mengemukakan cadangan penambahbaikan untuk Sukan SEA pada masa akan datang.

Pada Sukan SEA Kemboja 2023, Malaysia mencatat prestasi terburuk dalam sejarah temasya dwitahunan itu sejak 1959, apabila menamatkan cabaran di kedudukan ketujuh keseluruhan dengan 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa, sekali gus gagal mencapai sasaran 40 -37-64. — Bernama

Related Post

Leave a Comment