Kejohanan Badminton Kebangsaan: Muhammad Haikal-Muhd Fazriq ke pusingan kedua

Donna

KUALA LUMPUR, 5 Julai — Beregu lelaki negara Muhammad Haikal Nazri-Muhd Fazriq Mohd Razif Sidek melepasi halangan pertama apabila berjaya mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Kebangsaan 2023 yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini hari ini .

Bertanding merebut tiket Persatuan Badminton Malaysia (BAM), kedua-duanya tidak berdepan masalah menumpaskan adik beradik Zulfaiz Zulkifli-Zulhelmi Zulkifli dari Putrajaya, 21-17, 21-6, dalam masa 23 minit sahaja.

Muhammad Haikal ketika ditemui pemberita berkata perubahan corak permainan mereka pada set kedua perlawanan menjadi faktor kemenangan mereka kerana digandingkan buat kali pertama dalam kejohanan itu.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar walaupun pada set pertama kami agak perlahan kerana belum mendapat rentak. Jadi apabila kami memasuki set kedua kami bermain pantas untuk menang.

“Bagi diri saya sendiri, perubahan yang saya lakukan ialah pada set pertama saya hanya melakukan pukulan tanpa susulan pada bulu tangkis l, tetapi pada set kedua saya berbuat demikian untuk mendapatkan mata,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui pemenang Cabaran Antarabangsa Mongolia 2023, Low Hang Yee dan Ng Eng Cheong, akan menjadi pencabar utama dengan jangkaan bertemu pasangan itu seawal suku akhir sekiranya menang pada pusingan kedua esok .

Esok, Muhammad Haikal-Muhd Fazriq akan bertemu Goh Shao Tang-Ng Jhi Hao (wakil Perak/Johor) pada pusingan kedua.

Sementara itu, Muhd ​​Fazriq berkata kemenangan pada perlawanan pertama mampu menjadi pemangkin kepada mereka untuk meneruskan momentum kemenangan pada pusingan seterusnya.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa gandingan dengan Muhammad Haikal boleh diteruskan sekiranya mereka mempunyai keserasian yang baik di gelanggang. — Bernama

Related Post

Leave a Comment