Kejohanan Badminton Kebangsaan: Jun Hao mara ke separuh akhir

Donna

KUALA LUMPUR, 7 Julai — Pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao meneruskan prestasi cemerlangnya pada Kejohanan Badminton Kebangsaan 2023 apabila mara ke separuh akhir hari ini.

Jun Hao yang mewakili Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya mengambil masa 38 minit untuk menewaskan Lim Chong King Kuala Lumpur 21-19, 24-22 pada perlawanan suku akhir yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini.

Pilihan utama itu akan bertemu bekas juara dua kali Lim Chi Wing dari Kuala Lumpur, yang mengetepikan seorang lagi pemain BAM, Aidil Sholeh Ali Sadikin, 22-20, 21-8.

“Perlawanan hari ini agak sukar pada set kedua apabila kami mengikat mata masing-masing, tetapi saya berjaya mengawal permainan.

“Mengenai pertemuan esok dengan Chi Wing, dia seorang pemain berpengalaman kerana kami pernah berlatih bersama sebelum ini dan agak rapat. Walaupun dia tidak lagi beraksi di peringkat antarabangsa, saya tetap perlu memberikan yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Dalam kategori wanita, pilihan ketiga Wong Ling Ching berjaya mara ke empat terakhir selepas menewaskan rakan sepasukannya Kay Xin Lee, 21-13 dan 21-11.

Ling Ching, yang bertanding atas tiket BAM, akan bertemu Lim Shin dari Johor, yang turut mara ke suku akhir selepas menewaskan seorang lagi pemain BAM Oo Shan Zi 21-19 dan 21-17. — Bernama

Related Post

Leave a Comment