Kedudukan Zii Jia terus jatuh, Tang Jie-Ee Wei mendaki empat anak tangga

Donna

KUALA LUMPUR, 27 Jun — Kedudukan pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia terus goyah apabila ranking dunianya jatuh satu tempat dalam kemas kini terbaharu yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.

Zii Jia, yang memutuskan untuk berehat sebentar berikutan larian yang mengecewakan baru-baru ini, jatuh ke kedudukan ke-14 dengan 54,476 mata, jauh di belakang juara dunia Viktor Axelsen dari Denmark dengan 103,005 mata, kedudukan tertinggi dalam ranking BWF.

Sementara itu, kejayaan merangkul kejuaraan Terbuka Taiwan 2023 Ahad lalu, membantu pasangan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melonjak empat anak tangga daripada kedudukan ke-19 untuk menduduki ranking ke-15 selepas mengumpul 54,888 mata.

Pasangan profesional Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie merupakan satu-satunya wakil negara dalam kelompok 10 teratas selepas mengekalkan tempat ketujuh (62,984 mata) dalam ranking yang didominasi juara China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong (116,906 mata).

Nasib berbeza dialami beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun apabila tidak berganjak daripada kedudukan ke-23 (43,160 mata), walaupun berjaya mempertahankan kejuaraan Terbuka Taiwan 2023 dengan menewaskan Lu Ching Yao-Yang Po Han dari Taiwan 20-22 , 21-17, 21-14 dalam perlawanan akhir.

Dua pasangan beregu lelaki negara, juara bertahan dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik kekal di kedudukan keempat (81,794 mata) manakala pasangan profesional Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di kedudukan keenam (71,250 mata) manakala pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto kekal tidak dicabar di tempat teratas dengan (94,379 mata).

Kategori beregu wanita menyaksikan naib juara Masters Malaysia 2023 Pearly Tan-M. Thinaah kekal di kedudukan ke-12 (65,821 mata) dengan gandingan China Chen Qing Chen-Jia Yi Fan masih unggul, menduduki tempat teratas dengan (100,654 mata).

Bekas juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei terkeluar daripada senarai 30 perseorangan wanita terbaik dunia selepas jatuh empat anak tangga ke tempat ke-34 (34,683 mata) dan pemain Jepun Akane Yamaguchi kekal di tangga teratas dengan 103,717 mata. — Bernama

Related Post

Leave a Comment