Juara pelari menara Soh Wai Ching menakluki Berjaya Times Square

Donna

KUALA LUMPUR, 23 Julai — Juara larian menara, Soh Wai Ching meneruskan pencapaian luar biasa apabila menyahut cabaran mendaki bangunan Berjaya Times Square setinggi 203 meter di sini dalam pertemuan sulung Berjaya Times Square Tower Run 2023 hari ini.

Pelari menara nombor satu dunia itu menamatkan larian 47 tingkat membabitkan 1,061 anak tangga dalam masa lima minit dan enam saat untuk merangkul gelaran perlumbaan berprestij itu.

Kejayaan yang diraih itu merupakan kemenangan ke-67 beliau tahun ini selepas pemain berusia 28 tahun itu menyertai 100 kejohanan larian menara.

Mengulas mengenai perlumbaan hari ini, Wai Ching berkata, dia amat berbangga kerana dapat mencipta nama di Malaysia walaupun mengakui ia satu cabaran yang getir.

“Perlumbaan agak mencabar, kerana saya mula berlari terlalu laju dan cuba mengekalkan rentak, ia agak bergelut tetapi saya dapat mencapai penamat, selepas saya sampai ke penamat saya hanya berbaring.

“Saya sebenarnya mempunyai sasaran bawah lima minit tetapi keputusan ini okey, tahun depan saya mahu memecahkan rekod ini,” katanya kepada Bernama.

Tempat kedua dan ketiga dimenangi pelari Taiwan Ching Chung Lo dan Yu Chieh Yen, yang masing-masing mencatat masa 5:47s dan 5:57s.

Dalam pada itu, atlet kelahiran Selangor itu mengintai untuk mempertahankan kejuaraan ketiganya di The Empire State Building Run-Up (ESBRU) di New York pada 4 Oktober ini.

Wai Ching, yang sebelum ini menjadi pelari Asia pertama memenangi ESBRU, berkata dia mahu terus mencipta sensasi pada kejohanan itu dengan memecahkan rekod 9:33s yang dicatat Paul Crake dari Australia pada 2003.

Setelah mencapai ranking nombor satu dunia pada Mei 2022, dia berazam untuk mengekalkannya untuk 10 tahun akan datang.

Pada 18 Julai, Wai Ching menerima Anugerah Khas di Anugerah Sukan Negara 2022. — Bernama

Related Post

Leave a Comment