Operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk dua mangsa yang masih hilang akibat fenomena air di Jeram Air Putih di Kemaman, Terengganu diteruskan semalam walaupun dalam skala yang lebih kecil.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi Terengganu, Mohd Khariri Mat Resad berkata, usaha pencarian hanya difokuskan di Sektor C berdasarkan maklumat dan petunjuk yang diperoleh.
Beliau menjelaskan, kawasan pencarian menjangkau radius 20 kilometer (km) hingga muara Sungai Kemaman, melibatkan 20 pegawai dan anggota.
“Kami memfokuskan usaha pencarian di Sektor C kerana kawasan ini mempunyai risiko yang lebih rendah. Keselamatan anggota kami sangat diutamakan semasa melakukan operasi dan usaha akan dihentikan jika turun hujan,” katanya sambil menyertai operasi tersebut semalam.
Mohd Khariri berkata, usaha pencarian menggunakan tiga bot untuk memantau sungai.
Operasi bermula jam 9 malam sebelum ditangguhkan sekitar jam 12 malam dan akan diteruskan pagi ini.
Dua mangsa yang masih hilang ialah Putri Nor Fatin Karim, 14 tahun, dan Muhammad Fikri Saliman, 24 tahun.