SEOUL, 2 Jun ― YouTube Korea akan melancarkan saluran beli-belah rasminya untuk perdagangan langsung akhir bulan ini buat kali pertama di dunia, seorang pegawai YouTube Korea memberitahu Agensi Berita Yonhap, tanpa memberikan butiran.
Saluran baharu itu, yang ditetapkan untuk dibuka pada 30 Jun, akan menyediakan platform perdagangan langsung kepada syarikat dan merancang untuk menstrim langsung kandungan beli-belah dengan kira-kira 30 jenama.
Ini adalah kali pertama YouTube membuka saluran beli-belah rasmi di mana-mana negara di dunia.
“YouTube komited untuk membina pengalaman membeli-belah yang menarik, bermaklumat dan menghiburkan untuk semua pengguna, termasuk di Korea. Untuk melakukan ini, kami mungkin bereksperimen dengan pelbagai ciri Beli-belah YouTube dari semasa ke semasa sambil kami terus berusaha keras untuk mengoptimumkan dan menyampaikan pengalaman terbaik untuk pengguna kami,” kata sumber itu.
Tahun lepas, YouTube melancarkan tab beli-belah baharu dalam bahagian Teroka, membenarkan pencipta yang layak menandai produk dalam strim langsung mereka atau menyenaraikan produk di bawah video mereka dan penonton membeli produk tersebut.
Semasa panggilan pendapatan suku keempat 2022 Alphabet Inc., Philipp Schindler, ketua pegawai perniagaan syarikat itu, berkata Alphabet akan menumpukan pada menjadikan YouTube lebih “boleh dibeli”, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memupuk lebih ramai pencipta, yang akan membawa kepada lebih banyak kandungan dan penonton, dan akhirnya lebih banyak peluang untuk pengiklan. Alphabet ialah syarikat induk Google dan YouTube.
“Ia masih baru muncul, tetapi kami melihat banyak potensi dan memudahkan orang ramai membeli-belah daripada pencipta, jenama dan kandungan yang mereka gemari,” kata Schindler. ― Bernama