KUALA LUMPUR, 4 Julai — Prestasi dalam tiga kejohanan terdekat akan dijadikan penanda aras jurulatih Wong Tat Meng dalam menstruktur program latihan yang sesuai untuk pemain perseorangan profesional terkemuka negara Lee Zii Jia.
Bagi tujuan itu, Tat Meng yang memasuki hari kedua membimbing Zii Jia berkata, dia terlebih dahulu mahu menyaksikan sendiri kemampuan pemain berusia 25 tahun itu beraksi di gelanggang bermula dengan Terbuka Korea Selatan dan Jepun. Dibuka pada Julai ini, serta Terbuka Australia pada bulan Ogos.
“Saya tidak pernah melihat dia (Zii Jia) dalam pertandingan. Jadi saya mahu lihat prestasinya sebelum memutuskan program latihannya,” menurut Tat Meng dalam video yang dikongsikan bersama media hari ini.
Tat Meng berkata selain meningkatkan kemahiran pemain menjelang kejohanan, fokus utama adalah meningkatkan keupayaan psikologi Zii Jia menyerap tekanan ketika beraksi atau berdepan tekanan peminat yang menuntut pemain itu bangkit untuk beraksi cemerlang.
“Zii Jia mempunyai potensi dan keupayaan untuk menjadi juara. Ia datang dalam pakej kerana jika dia mendapat perhatian yang mencukupi, sudah tentu ia akan datang dengan tekanan yang hebat.
“Dia perlu belajar menerima (jangkaan) peminat dan media. Mereka yakin dengan kemampuannya jadi dia perlu yakin dengan diri sendiri,” kata Tat Meng.
Sebelum ini, Zii Jia dilaporkan kembali bersemangat selepas memilih untuk berehat sebentar berikutan prestasi merosot sejak kebelakangan ini, termasuk terkeluar seawal pusingan pertama Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia pada Jun lalu.
Pada masa yang sama, juara All-England 2021 itu mengalami penurunan ranking dunia daripada ke-13 kepada ke-14 dalam kemas kini terbaharu yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Media sebelum ini melaporkan kemunculan semula Zii Jia selepas berehat sebentar akan bermula dengan Kejohanan Terbuka Korea Selatan yang akan berlangsung dari 18-23 Julai, seperti yang disahkan oleh kakak dan pengurus pemain Kedah itu, Lee Zii Yii.
Zii Jia akan menentang Ng Ka Long dari Hong Kong pada pusingan pertama Terbuka Korea Selatan. — Bernam