KUALA LUMPUR, 27 Jun — Pemain beregu lelaki terkemuka negara, Aaron Chia mengakui terdapat tekanan untuk mengulangi pencapaian bersejarah bersama gandingannya, Soh Wooi Yik, bagi mempertahankan gelaran juara dunia di Copenhagen, Denmark dari 12 hingga 27 Ogos ini.
Aaron berkata cabaran lebih besar untuk meraih kemenangan berturut-turut pada Kejohanan Badminton Dunia kerana ia juga akan memberikan mata kelayakan untuk Sukan Olimpik 2024 di Paris dari 26 Julai hingga 11 Ogos 2024.
“Tekanan ada tetapi anda perlu beraksi, ini juga tempoh kelayakan Sukan Olimpik 2024, jadi ia sangat penting.
“Mungkin pada Oktober kita akan tahu di mana tahap kita (ranking Olimpik). Jadi, kita ada kira-kira tujuh hingga lapan kejohanan menjelang Oktober yang perlu kita tolak…sekurang-kurangnya konsisten ke separuh akhir atau akhir,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.
Pemain berusia 26 tahun itu juga berkata adalah sangat penting bagi mereka untuk mencapai sekurang-kurangnya separuh akhir dalam kejohanan, terutama peringkat tinggi seperti Super 750 dan 1000 untuk mengukuhkan kedudukan mereka pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2024. yang sedang berlangsung sehingga April depan.
Ogos lalu, Aaron-Wooi Yik mencipta sensasi dengan menewaskan juara dunia tiga kali Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia, 21-19, 21-14, sekali gus menamatkan penantian 45 tahun Malaysia untuk memenangi kejuaraan dunia sulungnya.
Walaupun memenangi gelaran dunia, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu masih belum memenangi sebarang kejohanan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejak digandingkan pada 2017.
Ditanya sama ada mereka tercabar dengan kejayaan Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang mempertahankan kejuaraan pada Terbuka Taiwan 2023 Ahad lalu, Aaron sebaliknya berkata, pencapaian rakan sepasukannya bukan sahaja membakar semangatnya dan Wooi Yik tetapi juga pasangan negara lain untuk muncul juara Jelajah Dunia nanti.
Beliau berkata, pencapaian Wei Chong-Kai Wun juga mampu memperkasakan kem beregu lelaki negara, sekali gus memberi banyak pilihan terutama untuk memilih pasangan terbaik menyertai pasukan negara pada kejohanan berpasukan selepas ini.
Wei Chong-Kai Wun mengesahkan kejuaraan Terbuka Taiwan 2023 apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan pasangan tuan rumah, Lu Ching Yao-Yang Po Han, 20-22, 21-17, 21-14 pada perlawanan akhir kejohanan Super 300. — Bernama