Program Jualan Rahmah beri manafaat kepada dua juta rakyat: KPDN

Donna

Ihsan gambar: Fuziah Salleh FB
Ihsan gambar: Fuziah Salleh FB

KOTA BHARU: Program Jualan Rahmah telah memberi manfaat kepada hampir dua juta rakyat sejak dilaksanakan kerajaan awal tahun ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh (gambar).

Beliau berkata sepanjang tempoh itu juga sebanyak 1,133 program jualan dilaksanakan dengan nilai jualan RM51.2 juta telah direkodkan, yang melibatkan potongan diskaun 30 peratus ke atas pelbagai jenis barangan.

“Bagi Jualan Rahmah Bergerak pula 331 program telah dijalankan di seluruh negara iaitu dengan membawa barangan berkonsepkan “Kedai Cari Rakyat” dengan barangan berdiskaun antara 10 hingga 30 peratus,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan Rahmah di kawasan Perumahan Taman Desa Darul Naim, Pasir Tumboh di sini hari ini. Hadir sama, Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata kerjasama dengan rakan strategik iaitu pemain industri juga amat membanggakan, apabila mereka membantu dalam memberikan potongan harga ke atas barangan jualan.

“Kita lihat melalui program ini kedua-dua yang terlibat khususnya rakyat dan pemain industri berada di situasi “menang-menang” kerana rakyat memperolehi potongan harga atas barangan manakala pemain industri mampu menaikkan hasil jualan,” katanya. –Bernama

Tags

Related Post

Leave a Comment