Mengaku terima suapan, penolong jurutera JKR didenda RM80,000

Donna

Gambar hiasan
Gambar hiasan

SHAH ALAM: Seorang penolong jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Langat didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah menerima suapan berjumlah RM10,000 daripada penyelia tapak sebuah syarikat pembinaan, tahun lalu.

Hakim Datuk Anita Harun menjatuhkan hukuman itu ke atas Zabidi Zahari, 36, selepas membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan dan mahkamah turut mengenakan tambahan 12 bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan, Zabidi didakwa menerima RM10,000 daripada seorang penyelia tapak sebuah syarikat di sebuah restoran di Bandar Baru Bangi pada 17 Mei 2022, kira-kira 4 petang.

Zabidi didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Bagaimanapun peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim yang mewakili Zabidi merayu hukuman minimum memandangkan tertuduh perlu menanggung tiga anak manakala isteri tidak bekerja.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa meminta RM80,000 daripada penyelia tapak untuk membantu mempercepatkan proses bayaran invois bagi projek pembaikan dan baik pulih di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Perdana yang dihantar kepada JKR Hulu Langat.

Penyelia tapak berkenaan kemudian membuat aduan kepada SPRM mengenai permintaan Zabidi yang juga pada akhirnya bersetuju untuk menerima RM10,000 daripada pengadu.

Pengadu yang membawa wang perangkap berjumlah RM10,000 bersama-sama dengan beberapa pegawai SPRM kemudiannya bertemu Zabidi di sebuah restoran di Bangi sebelum lelaki berkenaan ditahan. –Bernama

Tags

Related Post

Leave a Comment