Pan Gon memberi pujian kepada Harimau Malaya selepas membelasah Papua New Guinea 10-0

Donna

KUALA NERUS, 21 Jun ― Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Kim Pan Gon tersenyum gembira selepas Malaysia membelasah Papua New Guinea 10-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tahap 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, malam tadi.

Pan Gon mengakui sangat gembira dengan komitmen pemain selepas Harimau Malaya mempamerkan aksi yang sangat berkualiti dan menghiburkan di hadapan hampir 10,000 penonton di stadium.

Beliau berkata, apa yang dipamerkan pemainnya malam tadi memerlukan usaha dan kerja keras demi memenuhi permintaan barisan kejurulatihan selain terpaksa berdepan tekanan hebat untuk melaksanakan taktikal pasukan dalam setiap perlawanan.

“Mereka (pemain) sentiasa cuba meningkatkan kualiti permainan dan amat penting untuk melihat mereka berada dalam tekanan kerana kami (kakitangan kejurulatihan) datang ke sini untuk mengubah bola sepak Malaysia menjadi positif, dominan dan proaktif.

“Jadi bagi saya, saya gembira malam ini tetapi ini bukan penamat kempen, ia hanya satu perlawanan…tetapi ini adalah jenis bola sepak yang kami mahu lawan menentang pasukan yang kuat dan itulah sasaran kami,” kata Pan Gon dalam sidang media selepas perlawanannya di sini, malam tadi.

Mengulas mengenai kemajuan yang dicapai sejak mengambil alih pasukan pada Januari tahun lalu, Pan Gon berkata tahap keyakinan pemainnya semakin meningkat dengan setiap perlawanan walaupun kadangkala bergelut, namun apa yang penting mereka tidak takut.

Katanya, ketakutan boleh menjejaskan tumpuan mereka sekali gus menyukarkan pasukan untuk beraksi dengan baik.

“Seperti pada separuh masa kedua (malam tadi), itu bukan sesuatu yang boleh saya ajar. Ia adalah sesuatu yang datang secara semula jadi daripada pemain, ia datang dari lubuk hati mereka…Saya rasa tahap keyakinan mereka telah bertambah baik.

“Dan juga dalam satu setengah tahun yang lalu, mereka cuba memahami model permainan dan pendekatan taktikal kami. Kami memberi banyak maklumat kepada pemain, saya dapat lihat mereka sangat bijak dan saya bangga dengan mereka,” kata jurulatih berusia 54 tahun itu.

Pada pertembungan malam tadi, persembahan cemerlang pada separuh masa kedua membuka jalan kepada kejayaan Malaysia apabila anak buah Pan Gon menjaringkan sembilan gol selepas mendahului pada penghujung separuh masa pertama menerusi sepakan penalti Muhammad Safawi Rasid.

Pemain sayap muda sensasi Arif Aiman ​​Mohd Hanapi yang datang sebagai pemain gantian pada babak kedua dan pemain naturalisasi Paulo Josue mencuri tumpuan dengan empat dan tiga gol masing-masing manakala pemain gantian lain Mohamad Faisal Abdul Halim dan Daniel Ting masing-masing membolosi satu gol.

Kejayaan itu menyaksikan Harimau Malaya merangkul kemenangan persahabatan keempat berturut-turut sejak Mac lalu dan mencatat kemenangan terbesar sejak menewaskan Bhutan 7-0 dalam aksi persahabatan pada April 2018.

Sementara itu, ketua jurulatih Papua New Guinea Harrison Kamake yang terkejut dengan kekalahan besar itu berkata kegagalan pasukannya mematuhi arahan menjadi punca mereka melepaskan sembilan gol pada separuh masa kedua.

“Ia adalah sukar untuk pemain saya, jelas sekali Malaysia adalah pasukan yang lebih baik, kredit penuh kepada mereka,” katanya. ― Bernama

Related Post

Leave a Comment