KUALA LUMPUR, 12 Julai — Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan lima kategori tiket akan dijual untuk perlawanan akhir Piala FA 22 Julai antara juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur (KL) City FC.
Perlawanan akhir Piala FA edisi ke-33 akan diadakan di laman sendiri JDT, Stadium Sultan Ibrahim, di Iskandar Puteri, Johor.
Lima kategori tiket yang akan diagihkan sama rata kepada penyokong kedua-dua pasukan adalah untuk kemasukan am (RM50); Grandstand Piala FA (RM100); Premium Piala FA (RM150); MFL Premium (RM150); dan MFL Grandstand (RM200).
MFL dalam satu kenyataan hari ini berkata bahawa penyokong yang membeli tiket MFL Grandstand akan menerima barangan eksklusif untuk perlawanan akhir Piala FA 2023.
MFL berkata ia akan menyerahkan kepada JDT dan KL City untuk menguruskan sepenuhnya penjualan tiket final Piala FA kepada penyokong mereka, sambil menambah bahawa baki tiket kemudiannya akan dijual kepada orang ramai. — Bernama