SERDANG, 10 Julai — Besbol berpotensi dipertandingkan pada Sukan Malaysia (Sukma) sekiranya sukan itu terus dipertingkatkan terutama di peringkat universiti, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Beliau berkata semua negeri perlu memainkan peranan untuk menjadikan besbol popular di negara ini dan MSN juga akan komited untuk menjadikan sukan itu sebagai sukan teras dalam kalangan pelajar universiti.
“Besbol lebih popular daripada bola lisut. Besbol berpotensi untuk menjadi sukan utama dalam kalangan pelajar universiti.
“Kita harap ia boleh menjadi budaya di universiti seperti di Amerika Syarikat dan kita harap perkara ini diketengahkan oleh Persekutuan Besbol Malaysia (PBM),” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis pelancaran Liga Besbol Kebangsaan 2023 di Universiti Putra Padang Besbol Malaysia (UPM) di sini hari ini.
Terdahulu, Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail secara rasmi melancarkan Liga Besbol Kebangsaan 2023 yang julung kali diadakan. Turut hadir Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Kebawah DYMM disambut oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Presiden PBM Sazali Husain.
Liga Besbol Kebangsaan 2023 dianjurkan bersama oleh PBM, Kementerian Belia dan Sukan, dan MSNl, dengan AEON BiG Sdn Bhd sebagai penaja.
Liga itu bermula pada 10 Jun dan akan berlangsung selama enam hujung minggu, disertai 184 pemain berusia 20 hingga 30 tahun dari lapan negeri iaitu Perlis, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. — Bernama