SHAH ALAM, 19 Julai — Kematian bekas jurulatih kebangsaan B. Sathianathan akibat kanser semalam merupakan satu kehilangan besar buat persaudaraan bola sepak negara.
Rakan rapat Sathianathan, kenalan dan peminat sukan, yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir di rumahnya hari ini, sedih dengan kematiannya dan mengakui sukar untuk mencari orang sepertinya.
Bekas jurulatih Harimau Malaya Datuk K. Rajagopal mempunyai banyak kenangan indah, pernah bermain bola sepak dengan mendiang Sathianathan semasa zaman muda mereka dan berkata bahawa Sathianathan sentiasa mahu menaikkan taraf bola sepak tempatan.
“Beliau serius dengan kerjanya… Dia cukup bersungguh-sungguh, dan kami melihat itu daripada cara dia melatih Felda United sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir.
Rakan lain yang hadir untuk memberi penghormatan termasuk ketua jurulatih Bawah 23 tahun negara E. Elavarasan dan bekas penjaga gol kebangsaan Syed Adney Syed Hussein.
Elavarasan, yang pernah melatih Sarawak United ketika Sathianathan menjadi pengarah teknikal pada 2020, berkata Sathianathan mempunyai personaliti yang dikaguminya.
“Dia seorang yang sangat menarik, apabila kami bertemu kami bersama pasukan yang berbeza, kecuali pada 2020 ketika kami bekerja sebagai satu pasukan dan dia banyak membimbing saya. Dia seorang yang sangat berpengalaman dan teratur,” katanya.
Syed Adney, yang bermain di bawah mendiang Sathianathan, berkata dia berhutang kejayaannya dalam bola sepak kepada Sathianathan, yang meletakkan kepercayaan kepadanya untuk menjadi penjaga gol pilihan pertama.
“Kini saya juga seorang jurulatih dan saya harap saya boleh menyampaikan segala yang saya pelajari kepada latihan di bawah saya,” katanya sambil cuba menahan sebak.
Sathianathan 65, meninggal dunia semalam di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas setahun bertarung dengan kanser.
Ahli keluarganya berkata mereka akan berjaga selama dua hari dan mayatnya akan dibakar di Taman Memorial Nirvana di Shah Alam di sini pada pukul 2 petang esok. — Bernama