LONDON, 21 Jun ― N’Golo Kante akan meninggalkan Chelsea selepas tujuh tahun di Stamford Bridge dan menyertai Al-Ittihad sebagai ejen bebas dengan kontrak tiga tahun, kata kelab Saudi itu semalam.
Pemain antarabangsa Perancis itu, yang menyertai kelab London barat dari Leicester City pada 2016, akan bekerjasama dengan rakan senegara dan pemenang Ballon d’Or Karim Benzema di Al-Ittihad.
“Jangan percaya berita palsu. Kante adalah pemain Ittihad sekarang,” tulis kelab itu dalam mesej video di Twitter.
Media Britain melaporkan pemain tengah berusia 32 tahun itu telah menandatangani kontrak bernilai sekitar £86 juta (RM510 juta) setahun.
Benzema meninggalkan Real Madrid selepas 14 tahun sarat trofi dan menandatangani kontrak dua tahun dengan juara Arab Saudi itu dalam perjanjian yang dilaporkan bernilai lebih €100 juta.
Kante telah menjadi tonggak utama di Chelsea, memenangi Liga Juara-Juara, Liga Perdana, Liga Europa dan Piala FA semasa beliau bersama kelab itu.
Musim terakhir Kante dilanda kecederaan, bagaimanapun, apabila dia terlepas 38 perlawanan dalam semua pertandingan dengan Chelsea bergelut tanpa dia dan menduduki tempat ke-12 liga.
Beberapa pemain berprofil tinggi telah dikaitkan dengan perpindahan ke Arab Saudi dalam beberapa minggu kebelakangan ini, manakala Cristiano Ronaldo menandatangani kontrak dengan Al-Nassr pada Disember dalam perjanjian yang dilaporkan bernilai sekitar AS$220 juta setahun. ― Reuters