JDT berkuasa dalam Liga Super, kemenangan di tempat sendiri buat Kedah

Donna

KUALA LUMPUR, 15 Julai — Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan saingan Liga Super, selepas menewaskan Kelantan FC 5-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baru malam tadi.

JDT, yang melebarkan rekod tanpa kalah kepada 17 perlawanan, terbukti sukar dicabar apabila mendahului pada minit kesembilan hasil rembatan dari luar kotak penalti Fernando Forestieri yang menewaskan penjaga gol Kelantan Mohammad Johan Tendot.

Anak buah Esteban Solari kemudian menambah gol kedua JDT menerusi tandukan Ocar Arribas yang menerima hantaran lintang rakan sepasukan pada minit ke-23.

Pada separuh masa kedua perlawanan, Forestieri menerkam kesilapan hantaran pemain pertahanan Kelantan di hadapan petak penalti untuk menjaringkan gol ketiga JDT pada minit ke-60.

Kesilapan hantaran belakang pemain pertahanan Kelantan itu kemudian memberikan JDT gol keempat menerusi Bergson da Silva pada minit ke-64 yang mudah menolak bola ke gawang tuan rumah.

Pemain gantian JDT, Akhyar Rashid dalam pada itu bijak menyempurnakan hantaran bola rakan sepasukan dalam kotak penalti Kelantan untuk gol kelima pasukan pada minit ke-77.

Dalam satu lagi aksi Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) FC mengutip tiga mata hasil kemenangan 3-1 ke atas Kelantan United FC di Stadium Darul Aman, Alor Star.

Gol pertama skuad Sang Kenari dijaringkan oleh Ifedayo Olusegun pada minit ke-54 menerusi tandukan cantik hasil hantaran tepat Wan Amirul Afiq diikuti gol kedua pemain import Nigeria pada minit ke-74 yang berjaya menolak bola melepasi Kelantan. Penjaga gol United Mohd Shahril Saari.

Gol ketiga Kedah menyusul pada minit ke-85 menerusi rembatan pantas Amirbek Juraboev yang menewaskan penjaga gol Kelantan.

Pasukan pelawat bagaimanapun mendapat gol saguhati menerusi Ismaheel Akinade pada minit ke-90 sebelum wisel penamat dibunyikan. — Bernama

Related Post

Leave a Comment