Harimau Malaya boleh menembusi ranking 120 terbaik dunia menjelang Piala Asia

Donna

KUALA LUMPUR, 22 Julai ― Harimau Malaya boleh menembusi ranking 120 terbaik dunia menjelang Piala Asia 2023 di Qatar, awal tahun depan.

Keyakinan itu disuarakan oleh Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed, tetapi dengan syarat skuad kendalian Kim Pan Gon itu mesti mencatat sekurang-kurangnya satu kemenangan daripada dua perlawanan dalam jendela perlawanan antarabangsa Fifa dari 4-12 September, serta muncul juara Pestabola Merdeka.

FAM sedang berbincang dengan pasukan yang menduduki ranking ke-80 dunia, China, dan Mesir (34) untuk perlawanan persahabatan September ini, tetapi ia masih belum dimuktamadkan. Difahamkan, tindakan itu akan dilakukan di luar negara.

“Walaupun China berada dalam kedudukan 100 teratas dunia, prestasi pasukan semakin merosot, jadi kami perlu memanfaatkan kelemahan pasukan. Dengan prestasi semasa pasukan kebangsaan kita yakin mampu mencapai sasaran itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Piala Agong dan Piala Emas Raja-raja Melayu (PERR) 2023 di sini, hari ini.

Mohd Firdaus berkata Harimau Malaya juga perlu menjadi juara kejohanan Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil yang dijangka bermula pada 16 Okt, serta pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November untuk mencapai misi itu.

Selain tuan rumah Malaysia, pasukan yang menduduki ranking ke-96 dunia, Palestin, India (99) dan Lubnan (100) juga akan beraksi dalam Pestabola Merdeka kali ini.

Sebelum ini, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin pernah menyatakan yakin skuad negara mampu mencapai ranking 120 terbaik dunia sekiranya mencapai keputusan positif dalam kesemua enam perlawanan dalam jendela perlawanan antarabangsa FIFA pada Jun, September dan Oktober.

Dalam kemas kini terkini FIFA Selasa, Harimau Malaya berjaya melonjak satu anak tangga ke kedudukan ke-136 dunia, manakala ranking terbaik Malaysia ialah ke-75 yang dicapai pada 1993.

Sementara itu, Mohd Firdaus juga percaya Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan dapat menyiapkan kerja-kerja penggantian rumput di Stadium Nasional bagi menganjurkan Pestabola Merdeka di venue keramat Harimau Malaya itu.

“Dalam pertemuan baru-baru ini, kami difahamkan bahawa kerja-kerja penanaman rumput baharu akan dimulakan pada awal Ogos dan siap sebelum Pestabola Merdeka. Namun jika tidak bersedia, kita ada beberapa tempat alternatif termasuk di Pulau Pinang,” katanya.

Mohd Firdaus, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM), berkata Piala Agong, yang dianggap seperti Piala Sumbangsih (Perisai Amal), akan menemui juara bertahan Kuala Lumpur menentang juara PERR 2022, Selangor, pada 27 Okt.

Edisi ke-101 PERR, yang akan berlangsung selepas Piala Agong, akan menyaksikan 16 pasukan bawah 25 tahun termasuk pasukan jemputan dari Singapura bersaing merebut hadiah wang tunai RM50,000 untuk juara dan RM30,000 untuk naib juara.

“Pemain yang boleh menyertai kejohanan ini adalah daripada Piala Presiden, Piala Belia, Liga M4 dan Liga M5, tetapi pemain Liga M3 dan Liga Simpanan tidak dibenarkan. Tujuan kejohanan ini adalah untuk pembangunan dan sebagai platform kepada pemain untuk melonjak ke liga yang lebih tinggi,” katanya.

Mengikut format perlawanan, pasukan akan dibahagikan kepada empat kumpulan mengikut zon, dengan hanya dua pasukan teratas mara ke suku akhir. ― Bernama

Related Post

Leave a Comment