KUALA LUMPUR, 19 Jun — Sejumlah RM6.9 juta telah diluluskan untuk memenuhi keperluan atlet di bawah program Road to Gold (RTG), kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Hannah yang juga pengerusi bersama jawatankuasa RTG berkata peruntukan itu diluluskan hari ini pada mesyuarat jawatankuasa RTG kedua.
“Buat masa ini kumpulan ini ada program, dana mencukupi, dan sekiranya ada penambahan atlet, dana akan ditambah,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di sini hari ini.
Hannah berkata mesyuarat itu turut meluluskan elaun khas RTG sebanyak RM3,000 sebulan untuk setiap atlet di bawah program itu yang ditubuhkan sebagai persediaan atlet menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.
Dalam perkembangan lain, penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata jawatankuasa itu bersetuju untuk memenuhi semua permintaan yang dibuat oleh jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizuhasni Awang.
“Kami akan memberi sokongan sebanyak yang kami boleh berikan, RTG telah melihat semua keperluan dan semua perkara yang diminta… (Ia termasuk) permintaan domestik,” katanya.
Mohd Azizulhasni sebelum ini dilaporkan melahirkan rasa kecewa terhadap Majlis Sukan Negara (MSN) yang gagal menyediakan sistem sokongan lengkap di sini sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Juara Dunia Berbasikal Trek Keirin 2017 itu berkata beberapa siri perbincangan telah diadakan dengan MSN pada tahun sebelum dia pulang dari pangkalan latihan di Melbourne, Australia, tetapi setakat ini tiada penyelesaian ditemui. — Bernama