DOSM: Pendapatan purata isi rumah RM8,479 pada 2022

Donna

BERNAMAPix
BERNAMAPix

PUTRAJAYA: Pendapatan purata isi rumah di Malaysia pada 2022 meningkat 2.4 peratus setahun kepada RM8,479 berbanding RM7,901 yang dicatatkan pada 2019, demikian menurut Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (gambar) berkata laporan itu yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM) menunjukkan pendapatan isi rumah penengah meningkat sederhana 2.5 peratus setahun pada 2022 kepada RM6,338 berbanding RM5,873 pada 2019.

“Nilai pendapatan ini mengambil kira purata saiz isi rumah sebanyak 3.8 orang dengan purata 1.8 orang penerima pendapatan,“ katanya ketika membentangkan hasil dapatan laporan itu di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata pendapatan isi rumah itu merangkumi pendapatan daripada pendapatan bergaji, bekerja sendiri serta pendapatan daripada pelaburan dan pindahan semasa diterima.

Mohd Uzir berkata antara negeri yang mencapai pendapatan penengah melebih paras nasional RM6,338 ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan pendapatan penengah RM10,234; Wilayah Persekutuan Putrajaya (RM10,056); Selangor (RM9,983); Wilayah Persekutuan Labuan (RM6,904), Johor (RM6,879) dan Pulau Pinang (RM6,502).

Bagi pendapatan purata isi rumah pula, antara negeri yang mencatatkan pendapatan purata melebihi paras nasional RM8,479 ialah Putrajaya dengan purata pendapatan RM13,473; Kuala Lumpur RM13,325; Selangor RM12,223 dan Johor RM8,517, katanya.

“Di Putrajaya, ia lebih centric dengan penjawat awam dan ia juga mula didiami pekerja swasta yang berpendapatan tinggi, jadi ia menyumbang kepada faktor pendapatan isi rumah yang tertinggi,” katanya.

Mohd Uzir berkata selaras dengan cadangan kerajaan mengenai pendapatan boleh guna sebagai asas dalam kaedah pendekatan membantu rakyat, DOSM telah mengambil inisiatif dengan menganalisis dapatan survei itu dari sudut pendapatan boleh guna.

Beliau berkata pendapatan isi rumah boleh guna bulanan purata meningkat 1.7 peratus kepada RM7,111 pada 2022 berbanding RM6,764 pada 2019, manakala pendapatan isi rumah boleh guna penengah bulanan juga meningkat 1.9 peratus kepada RM5,413 pada 2022 berbanding RM5,116 pada tahun sebelumnya.

Dari segi corak agihan pendapatan, had pendapatan B40 yang merangkumi 3.16 juta isi rumah ialah RM5,249 pada 2022, kumpulan M40 pula merekodkan julat pendapatan antara RM5,250 hingga RM11,819, manakala sebanyak 1.58 juta isi rumah berada dalam kategori T20 dengan pendapatan melebihi RM11,820.

Mengenai analisis kemiskinan mutlak pula, Mohd Uzir berkata nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi 2022 meningkat kepada RM2,589 berbanding RM2,208 pada 2019.

Mengulas mengenai Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah, Mohd Uzir berkata secara purata isi rumah di Malaysia berbelanja RM5,150 sebulan pada 2022.

“Di samping pendapatan yang diterima oleh isi rumah, sebahagian perbelanjaan itu dibiayai oleh penerimaan bukan pendapatan seperti bantuan kerajaan dan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja,“ katanya.

Komposisi corak perbelanjaan isi rumah masih tertumpu kepada empat kumpulan perbelanjaan utama iaitu perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api sebanyak 23.2 peratus; kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (16.3 peratus); kumpulan restoran dan hotel (16.1 peratus); dan kumpulan pengangkutan (11.3 peratus), katanya.

Sementara itu, Rafizi ketika ditanya sama ada kerajaan akan menyemak semula nilai PGK nasional dalam menyalurkan bantuan kepada kumpulan sasaran, beliau berkata kerajaan akan mengambil kira nilai PGK yang dibentangkan DOSM dalam membangunkan bentuk-bentuk bantuan yang sewajarnya.

“Ada beberapa kaedah yang kita boleh pertimbang berbanding menggunakan pendekatan B40, M40 dan T20 kepada kaedah yang lebih menyeluruh, antaranya berdasarkan indeks pendapatan yang mengambil kira pendapatan keseluruhan satu isi rumah, perbelanjaan dan data PGK,” katanya. –Bernama

Tags

Related Post

Leave a Comment