ISKANDAR PUTERI, 23 Julai — Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Esteban Solari amat berpuas hati dengan persembahan semua anak buahnya yang beraksi gagah malam tadi menentang Kuala Lumpur (KL) City FC untuk mengekalkan kejuaraan Piala FA.
Walaupun menang, jurulatih Argentina itu berkata ia adalah perlawanan yang sukar menentang lawan yang kuat.
“Sukar untuk saya menjadi sebahagian daripada pasukan kelab besar ini, untuk mencapai pencapaian seperti hari ini (malam tadi), ia bukan mudah. Ia adalah perlawanan yang sukar menentang pasukan yang bagus seperti KL City dan kami tidak boleh melakukan sebarang kesilapan.
“Tetapi, kami enggan berhenti dan terus menyerang dan cuba menjaringkan gol, dan akhirnya pemain saya menunjukkan mereka mahukan trofi itu,” katanya pada sidang media selepas perlawanan akhir, malam tadi.
Dia turut memuji pemain tengah Nathaniel Shio Hong Wan yang menjaringkan gol pertamanya untuk kelab dan penyerang Argentina, Leandro Sebastian Velazquez kerana menjaringkan gol pada separuh masa kedua untuk membawa JDT meraih kemenangan.
Solari berkata, penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed turut memainkan peranan penting dalam menjaga gawang dengan baik dan membuktikan kemampuannya pada perlawanan penting itu.
Harimau Selatan menewaskan KL City 2-0 untuk mengekalkan Piala FA, setelah memenanginya tahun lalu dan pada 2016.
Tambahnya, Harimau Selatan akan cuba mengekalkan rekod tanpa kalah apabila bertemu Selangor FC seterusnya dalam Liga Super pada 29 Julai ini.
Sementara itu, ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak mengakui mereka tewas kepada pasukan yang berkualiti, walaupun dia memuji pemainnya kerana tidak turun tanpa perlawanan.
“Bagaimanapun, kami berjaya meletakkan JDT di bawah tekanan pada separuh masa pertama dengan pertahanan kami dan mempunyai beberapa peluang untuk memenangi trofi.
“Tetapi, jaringan Nathaniel pada separuh masa kedua memberi tekanan kepada kami dan pemain mula hilang tumpuan apabila Leandro Velazquez menjaringkan gol kedua,” katanya.
Kejayaan Piala FA JDT meneruskan rekod tanpa kalah mereka dalam semua pertandingan domestik musim ini, yang merangkumi 17 kemenangan berturut-turut dalam Liga Super. — Bernama