KUALA LUMPUR, 28 Jun — Penyandang juara badminton beregu lelaki dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik antara calon yang bertanding merebut gong Ahli Sukan Negara pada Anugerah Sukan Negara 2022.
Mereka akan dicabar oleh dua pemenang pingat emas acara angkat berat Sukan Komanwel 2022 Mohammad Aznil Bidin dan Mohamad Aniq Kasdan serta pembina badan Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dan pemenang Kejohanan Snuker Amatur Dunia Lim Kok Leong.
Kategori Olahragawati Negara pula akan menyaksikan pertembungan lima penjuru. Kelima-lima mereka ialah pemenang pingat emas berganda gimnastik berirama Sukan Komanwel 2022 Ng Joe Ee, pemain terjun Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri, atlet petanque Nur Ain Syuhada Mohd Asri dan eksponen muaythai Nur Amisha Azrilrizal.
Pelumba basikal lumba jalan raya para negara Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin mengetuai senarai calon dalam kategori Ahli Sukan Paralimpik Kebangsaan. Yang lain ialah atlet angkat kuasa Jong Yee Khie dan Bonnie Bunyau Gustin, pemain badminton Cheah Liek Hou dan perenang Muhammad Nur Syafil Zulfafli.
Brenda Anellia Larry, pemenang pingat emas renang Sukan Para Asean Solo 2022, Carmen Lim (renang) dan Nani Shahiera Zawari (olahraga) akan bertanding untuk anugerah Olahragawan Paralimpik Negara. — Bernama