ISKANDAR PUTERI, 21 Julai — Ketua jurulatih Kuala Lumpur (KL) City FC, Bojan Hodak menyangkal dakwaan tunggakan gaji menjejaskan tumpuan pemainnya menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang juara bertahan Johor Darul Ta’zim esok.
Mengakui terdapat sedikit kelewatan dalam pembayaran gaji, jurulatih itu bagaimanapun percaya pemainnya cukup profesional untuk tidak menjejaskan peluang memenangi gelaran pertama musim ini.
“Gaji mungkin terlewat sedikit tetapi pemain adalah profesional, ini adalah muktamad dan pastinya isu ini tidak boleh menjejaskan prestasi,” katanya pada sidang media pra-perlawanan di sini hari ini.
Namun begitu, Hodak melahirkan harapan pengadil yang ditugaskan untuk perlawanan akhir malam esok dapat mengawal permainan.
Jurulatih Croatia berusia 52 tahun itu berkata tekanan bukan kepada The City Boys, sebaliknya kepada JDT untuk membuktikan diri mereka sebagai pasukan pilihan yang tiada tandingan dengan rekod cemerlang musim ini, selain mencatat 17 kemenangan berturut-turut dalam kempen Liga Super.
“Semua orang mengharapkan mereka (JDT) menang, jadi tiada tekanan kepada kami. Kami datang ke final, kami akan cuba memberikan yang terbaik dan bermain permainan yang bagus dan semoga mendapat keputusan yang positif…dan seperti yang saya nyatakan sebelum ini, saya cuma berharap akan ada pengadil yang baik dan lebih kuat yang dapat mengawal permainan ini,” katanya.
City Boys pernah mengejutkan Harimau Selatan apabila menewaskan mereka 2-0 pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2021, tetapi cabaran hebat menanti KL City jika mereka berharap untuk menumbangkan JDT selepas mereka tewas 0-3 dan 1-6 dalam dua Liga Super perlawanan musim ini.
Pertembungan antara KL City dan JDT esok akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim di sini, yang menjadi gelanggang tuan rumah Harimau Selatan.
Sementara itu, ketua jurulatih JDT Esteban Solari berkata persiapan berjalan lancar tanpa sebarang masalah kerana semua pemain mereka bebas daripada kecederaan.
Sambil menyifatkan ia sebagai perlawanan yang sukar dan penting untuk mengekalkan kejuaraan, bekas pemain Argentina itu mengingatkan pasukannya supaya bersedia dari segi fizikal dan mental.
“Dalam permainan ini, kami perlu bermain dengan semangat yang sama dan kekal tenang, tetapi persiapan mental dan fizikal sangat penting,” katanya.
Biarpun beraksi di hadapan penonton di tempat sendiri akan memberi kelebihan kepada mereka, Solari mengakui JDT tidak boleh mengambil mudah KL City FC.
Untuk rekod, Stadium Sultan Ibrahim mampu menampung 40,000 penonton, dan tiket perlawanan akhir malam esok sudah habis dijual. — Bernama