SIC menjalankan siasatan terhadap keriuhan hari trek peribadi

Donna

KUALA LUMPUR, 19 Julai — Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden yang dilaporkan berlaku pada hari trek persendirian hujung minggu lalu.

SIC dalam satu kenyataan berkata, pengendali litar sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan, penganjur acara dan pasukan keselamatan untuk mengumpulkan semua maklumat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang bertanggungjawab.

“SIC kesal untuk mengakui insiden malang yang melibatkan tingkah laku tidak diingini yang berlaku di tempat kami yang dihormati. Kami mengambil serius perkara ini dan komited untuk menegakkan standard kelakuan, keselamatan dan penghormatan tertinggi untuk semua hadirin.

“SIC komited untuk menjadi venue yang menjunjung standard tertinggi profesionalisme, integriti dan semangat kesukanan. Kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tingkah laku yang menjejaskan semangat dan nilai positif di tempat kami,” katanya.

Ia menambah, memandangkan SIC mengutamakan kesejahteraan dan kepuasan pelanggannya, satu siasatan sedang dijalankan untuk menentukan keadaan kejadian itu.

SIC juga menggalakkan para hadirin untuk melaporkan sebarang kebimbangan atau insiden dengan segera kepada kakitangan mereka di tapak atau melalui saluran rasmi mereka.

Difahamkan beberapa peserta cuba merosakkan harta benda SIC selepas pertengkaran hangat apabila transponder (alat komunikasi) yang disewa penganjur daripada pihak ketiga tidak berfungsi dengan baik. — Bernama

Related Post

Leave a Comment