THE HAGUE, Belanda, 8 Julai — Bekas penjaga gol Belanda Edwin van der Sar kekal di hospital hari ini selepas mengalami pendarahan otak dan keadaannya stabil tetapi masih membimbangkan, kata bekas kelabnya Ajax.
Pemain berusia 52 tahun itu, yang bermain untuk Ajax Amsterdam dan kemudian Manchester United, sedang bercuti di pulau Croatia apabila dia jatuh sakit.
“Edwin van der Sar akan kekal dalam rawatan rapi buat masa ini. Keadaannya stabil tetapi masih membimbangkan,” kata Ajax dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa ia berkongsi maklumat terkini bagi pihak isterinya Annemarie.
“Keluarga Van der Sar, bersama Ajax, bersyukur dan sangat terharu dengan banyak mesej sokongan.”
Van der Sar mengumumkan pada Mei bahawa dia akan berhenti sebagai ketua eksekutif Ajax selepas musim terburuk dalam 14 tahun untuk kelab Belanda bersejarah itu yang menduduki tempat ketiga dalam Eredivisie.
Dianggap sebagai salah satu penjaga gol terbaik dunia sepanjang zaman, Van der Sar yang beraksi 130 kali bermain untuk Ajax dari 1990-1999, memenangi Liga Juara-Juara pada 1995.
Dia menjulang Piala Eropah sekali lagi pada 2008 bersama Manchester United selepas beraksi di Juventus dan Fulham. — AFP