Gambar hiasan/BERNAMAPix
KUALA LUMPUR: Kumpulan Pemikir Malaysia menyambut baik kerangka dasar Ekonomi Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disasarkan untuk memakmurkan Malaysia secara mampan dan melindungi lagi kesejahteraaan rakyat.
Mereka juga berharap hampir kesemua tujuh sasaran Ekonomi Madani boleh dicapai dalam dekad akan datang, termasuk berada dalam kalangan 30 ekonomi terbesar dunia dan menduduki senarai 12 teratas dalam Indeks Daya Saing Global.
Kumpulan pemikir juga percaya bahawa kemampanan fiskal boleh dicapai dengan negara mampu mencapai defisit fiskal sebanyak tiga peratus atau lebih rendah lagi.
Pada Khamis, Anwar memperkenalkan platform Ekonomi Madani untuk menyusun semula ekonomi bagi mendukung usaha menjadikan Malaysia sebagai peneraju di rantau Asia Tenggara.
Ini, kata Perdana Menteri, akan memberi manfaat kepada rakyat yang seterusnya memberikan mereka kualiti hidup yang lebih baik.
Rangka kerja itu juga akan menjadi asas kepada beberapa dasar khusus lain yang akan diumumkan kemudian, termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
KL bakal jadi pusat bandar raya utama
Ketua penyelidik di INCEIF University (Pusat Kecemerlangan dalam Kewangan Sosial Islam) Prof Dr Baharom Abdul Hamid berkata beberapa pembangunan yang baik sedang dilaksanakan ketika ini, terutamanya di Lembah Klang.
“Sebagai contoh, Elon Musk (Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc) telah menyuarakan hasratnya untuk melabur di Malaysia dan saya sangat berharap kali ini ia benar-benar boleh berlaku, tidak seperti 20 tahun lalu apabila Bill Gates (pengasas bersama gergasi perisian Microsoft) berkata bahawa beliau akan datang ke sini tetapi itu tidak pernah berlaku,” katanya dalam program “The Brief-Special” terbitan Bernama TV pada Khamis.
Baru-baru ini dilaporkan bahawa Tesla Inc bakal membuka ibu pejabatnya di Selangor tahun ini.
“Ia sebenarnya bukanlah mengenai Elon Musk semata-mata, tetapi lebih kepada kesan domino atau kesan pencetus pergerakan sedemikian terhadap orang lain, ibaratnya – ‘Hei! Elon Musk sedang menuju ke Kuala Lumpur .Kami juga mahu berada di sana.’ Jadi (pergerakan) ini akan menjadi magnet yang berkesan.
“Oleh itu Greater KL mempunyai potensi untuk menjadi pusat bandar raya utama Asean jika pelan tersebut dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan dan menggunakan sumber yang ada dengan sebaik mungkin,“ katanya.
Dalam ucapannya, Anwar berkata kerangka Ekonomi MADANI bertujuan membawa Malaysia menjadi peneraju dalam kalangan ekonomi Asia dan bagi mencapai hasrat ini, struktur ekonomi perlu dirombak.
Beliau turut menyeru barisan jemaah menteri serta sektor awam dan swasta untuk berfikir secara global dan mengutamakan pengantarabangsaan ekonomi bagi meraih kemakmuran.
“Kita perlu membentuk integrasi ekonomi yang lebih besar dengan negara jiran, lebih-lebih lagi dunia sedang berdepan dengan kekangan rantaian bekalan. Maka, kita perlu melahirkan lebih banyak syarikat tempatan yang berdaya saing tinggi untuk menembusi pasaran rantau Asean.
“Usaha kita kini perlu melangkaui Perjanjian Perdagangan Bebas, sebagai contoh melalui diplomasi perdagangan dan pengaturan strategik yang boleh mengembangkan integrasi pasaran dua hala dan pelbagai hala serta memudahkan pergerakan barangan, modal, modal insan dan perkongsian teknologi dengan negara jiran,“ kata Anwar.
Pembaharuan pasaran
Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya Dr Elya Nabila Abdul Bahri berpandangan, melalui persekitaran yang baik, kemudahan menjalankan perniagaan dan keadaan pasaran yang wajar, Malaysia berupaya menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI).
“Dari segi tingkah laku pengguna, kita mempunyai penembusan pasaran yang lebih baik berikutan rakyat gemar berbelanja. Dari segi kuasa beli, walaupun ketika ini kita berdepan kos sara hidup yang tinggi, kuasa beli masih agak stabil.
“Sehubungan itu, wujud potensi pasaran untuk DDI dan FDI di negara ini bagi memastikan kesan pengganda tersebut,“ kata Elya Nabila yang juga ahli panel kedua pada program ‘The Brief- Special’ itu.
Beliau turut menyambut baik aspirasi kerajaan untuk mengantarabangsakan syarikat pemula niaga tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memandangkan langkah ini akan menyokong 79 peratus daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Sementara itu, Ahli Majlis Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia Datuk Dr AT Kumararajah turut sependapat dengan Elya Nabila sambil memaklumkan kerangka Ekonomi Madani tidak mengenepikan PMKS.
Pelaburan domestik langsung sebagai petunjuk prestasi utama
“Di samping itu, kita juga menyaksikan bahawa kerajaan berhasrat menjadikan pelaburan domestik langsung (DDI) sebagai petunjuk prestasi utama (KPI).
“Ini penting, kerana kita tidak mahu terus bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI). Malaysia amat menggalakkan kemasukan FDI tetapi pada masa yang sama juga kita tidak boleh abaikan DDI,” katanya semasa program Bernama TV “Apa Khabar Malaysia-Khas”.
Kumararajah merumuskan bahawa secara keseluruhannya naratif Ekonomi Madani yang di sampaikan Anwar adalah amat jelas dan tidak mempunyai ketirisan atau kelemahan.
Beliau, bagaimanapun menekankan kepentingan 5P kepada kerajaan untuk diamalkan iaitu: Penerimaan, Pemahaman, Perancangan, Pelaksanaan dan juga Penglibatan pemegang taruh bagi merelisasikan naratif tersebut.
Kerangka Ekonomi Madani itu menekankan kepentingan kepada syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk terus memacu pelaburan DDI dan menyokong pembangunan vendor tempatan dalam sektor strategik, seperti produk elektrik dan elektronik, ekonomi digital dan aeroangkasa.
Pada masa yang sama ia juga mahu meningkatkan pertumbuhan eksport, termasuk melalui Program Pembangunan Syarikat Pertengahan (MTCDP) serta Geran Pembangunan Pasaran (MDG) oleh agensi kerajaan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia.
Kerajaan dan GLIC akan melabur RM1 bilion dana tambahan untuk dipadankan dengan dana swasta bagi menyokong syarikat pemula niaga tempatan dan menggalakkan usahawan teknologi, manakala bagi PKS, geran pemadanan untuk pendigitalan akan dinaikkan sebanyak RM100 juta untuk mempercepatkan peralihan mereka ke arah lebih banyak model perniagaan digital.
PM mahu tingkat kedudukan Indeks Persepsi Rasuah
Meskipun Ekonomi Madani rata-ratanya mendapat pujian, namun beberapa penganalisis menyuarakan kebimbangan mereka terhadap isu berkaitan sasaran keenam yang akan dicapai dalam tempoh 10 tahun akan datang iaitu meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) ke tangga 25 teratas.
Menurut laporan CPI 2022, Malaysia hanya berjaya memperoleh 47 daripada 100 mata – prestasi terburuknya dalam tempoh sedekad.
“Hanya dengan pelaksanaan dan tadbir urus yang ketat, kerajaan akan dapat memenuhi semua sasarannya, jika tidak, ia hanya akan menjadi retorik,“ kata mereka.
Pada 2019, Malaysia mencapai skor CPI sebanyak 53, tetapi ini berkurangan kepada 51 pada 2020, dan 48 pada 2021.
Bagaimanapun, dari segi kedudukan daripada 180 negara, Malaysia berada di kedudukan ke-61 pada 2022, naik daripada kedudukan ke-62 pada 2021. -Bernama