KUALA LUMPUR, 17 Jun — Persatuan Renang Para Malaysia (Prepma) yang mewakili lapan persatuan renang Para negeri mengemukakan cadangan pelan pembangunan kepada Majlis Paralimpik Malaysia (MPC) untuk dibentangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Isnin.
Presidennya Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata pelan pembangunan yang akan dibentangkan kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh merangkumi tiga komponen untuk memperkasakan perenang Para negara.
“Komponen tersebut akan merangkumi pendedahan awal kepada lebih 150 acara renang Para dengan memperkenalkan sukan ini kepada bakat seawal usia 12 tahun di peringkat akar umbi.
“Kedua, kami akan menumpukan kepada strategi menambah bilangan atlet wanita bagi mewujudkan ‘keseimbangan jantina’ seperti yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), selain menyasarkan pingat pertama pada Sukan Paralimpik Paris 2024,” katanya. katanya ketika dihubungi hari ini.
Megat D Shahriman berkata, Setiausaha Agung MPC Datuk R Subramaniam akan mewakili Prepma untuk membentangkan rancangan itu.
Dalam pada itu, beliau optimis Sukan Malaysia (Sukma) 2024 yang akan berlangsung di Sarawak akan menampilkan lebih ramai bakat muda yang berpotensi menjadi generasi kedua negara di temasya antarabangsa.
Justeru, katanya, Prepma akan bekerjasama dengan persatuan sukan negeri dan agensi negeri bagi pembangunan di peringkat akar umbi serta bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara bagi pembangunan atlet elit lelaki dan wanita.
Semalam, MPC telah memutuskan untuk memindahkan tadbir urus renang para daripada Persekutuan Renang Malaysia (MS) kepada Prepma setakat Khamis lepas.
Langkah itu dibuat sebagai menyahut perkembangan antarabangsa dan seruan kerajaan untuk mengkaji semula fokus acara renang dan bersedia menghadapi gabungan antarabangsa apabila persekutuan antarabangsa dibentuk menjelang akhir 2026. — Bernama